24 Mei 2013

Inspirasi Jenin

Bismillahirrahmaanirrahim,

Bercakap tentang kisah Mat Jenin siapa yang tak tahu. Kisah turun temurun daripada nenek moyang kita yang dikatakan kerana terlampau kuat berangan, Mat Jenin mati sambil berangan masa tengah petik buah kelapa.

Apa yang Mat Jenin angan kan sebenarnya? Sampai dia boleh mati ketika sedang berangan. Mengikut kisah Mat Jenin, dia berangan-angan untuk menjual buah kelapanya sebanyak mungkin. Bila dah dapat duit, dia nak beli ayam dan ternak ayam tu. Bila dah semakin besar, dia nak beli kambing dan ternak kambingnya. Apabila semakin baik, dia nak beli lembu pula untuk diternakkan. Akhirnya, bila dah kaya, dia mahu mengisterikan seorang perempuan cantik idamannya. Namun, ia cuma satu angan-angan dan belum sempat angan-angannya bermula, dia mati.

Maka, 'cerita rakyat' ni membuatkan kita gusar dan takut untuk berangan-angan. Apatah lagi nak ceritakan angan-angan kita kepada orang ramai. Kerana takut kalau disuruh berhenti daripada angan-angan dan sudah semestinya akan digelar Mat Jenin.

Tapi, bila difikirkan balik, angan-angan Mat Jenin bukanlah angan-angan biasa. Angan-angannya tidak lebih dari satu bentuk perancangan perniagaan. Perancangan perniagaan yang memerlukan satu langkah untuk ke langkah yang seterusnya sehingga dia mencapai cita-cita yang diimpikan.

Jadi kenapa kisah angan-angan Mat Jenin ni menghantui orang kita sehingga sekarang sampai takut nak bercita-cita tinggi? Kita kena ingat bahawa kisah Mat Jenin ni sampainya semasa penjajahan British. British yang hebat menjajah minda mengarang satu cerita yang bakal menjadi cerita rakyat untuk penduduk Tanah Melayu. Supaya apa? supaya kita takut untuk berangan dan secara automatiknya takut juga untuk bercita-cita tinggi.

Orang-orang yang berjaya dalam dunia ni semua bermula daripada angan-angan. Bermula daripada impian. Daripada impian dan angan-angan itu terbitlah satu cita-cita dan sasaran dalam kehidupan. Bila dah ada cita-cita, fikirkan pula tentang perancangan untuk mencapai impian dan dengan usaha dan rezeki yang diturunkan, tidak mustahil angan-angan boleh menjadi kenyataan.

Jadi, janganlah takut untuk bermimpi dan berangan sebab lagi baik bercita-cita tinggi daripada hidup yang tak ada misi dan visi.





"The man who has no imagination has no wings" - Muhammad Ali

Tiada ulasan:

Catat Ulasan